Semalam hari yang agak memenatkan diri setelah sekian lama berehat dari bekerja di depan komputer. Selepas berjaya menyiapkan dua laman sesawang yang asas iaitu www.kanvaspuisi.com dan www.maslianaibrahim.com , ada rasa keperluan untuk meraikan diri diatas kejayaan kecil ini. iyalah ianya hanya kejayaan kecil dan semestinya diraikan untuk menghargai diri sendiri yang bertungkus lumus memberi sepenuh perhatian dan tenaga bagi menyudahkannya.

Justeru tadinya semasa dalam perjalanan untuk makan tengahari bersama si dia, mata ini ternampak Watson lalu menapak ke dalam kedai. Sedang membelek-belek barang apa yang rasa nak hadiahkan kat diri sendiri ni ya, mahal atau murah bukanlah ukurannya selagi diri kita tau takat kemampuan dan keperluan semasa. Hati meronta untuk memiliki scrub muka ini dan lagi merayau ke bahagian vitamin, hati memilih untuk ambil Redoxan ni. Alhamdulillah, ambil dan sebelum bayar, saya niatkan betul-betul bahawa belian ini dibuat khas untuk hadiahkan diri kerana kejayaan semalam dan alirkan rasa keberlimpahan dalam diri sebanyaknya. Lepas tu terus jer menuju ke kaunter sambil tersenyum. Haha gitu! Usah teragak-agak untuk membeli barangan keperluan atau untuk meraikan diri sendiri biarpun kejayaan yang di capai diri hanyalah kecil. Dan bezanya belian ikut rasa yang mahu adalah dengan niat yang jelas. Dulu saya juga selalu membeli untuk diri, tapi atas dasar rasa mahu saja, tanpa niat yang jauh lebih jelas, mahu kerana meraikan atau mahu kerana hadiah untuk aku dah capai bla bla bla. Beza pada niat dan impaknya juga berbeza.

Bila kita mula menghargai kejayaan-kejayaan kecil yang hadir dalam hidup kita, insyaallah kejayaan yang besar akan mudah hadir juga. Kata kuncinya adalah RAI. Kerna disebalik kejayaan kecil itu ada sosok yang sentiasa setia bersama kita iaitu diri kita yang di dalam diri itu. Diri itu yang sering dilupakan ramai orang termasuklah yang menulis ini satu ketika dulu, setelah menyedari betapa pentingnya meraikan diri sendiri, saya mula menghitung detik-detik kejayaan kecil setiap hari dan akan meraikan ia sebaik mungkin. Ia tak perlu diraikan dengan perkara atau hadiah yang besar, boleh jadi hanya dengan semangkuk ais kacang atau 1 slice kek butter pecan atau boleh jadi hadiah yang lebih besar, itu semua bergantung kepada diri dan bajet semasa. Pokoknya raikan diri sebanyak dan setulusnya.

Teringat kata-kata mentor hati saya, “ketika saya mula meraikan dan melayan diri sendiri sebanyaknya, ketika itulah hidup saya mula berubah.” ya benar, diri kita sebenarnya adalah amanah dariNya yang wajar dijaga sebaiknya dan dilayan seikhlasnya. Dan saya yang mendengarnya turut sama terkesan dan perlahan-lahan saya mula mengamalkan apa yang dia perkatakan, alhamdulillah banyak perkara baik yang hadir, hati jadi lebih lapang juga, tiada lagi emosi yang sarat berlama-lama dalam diri, semuanya hadir silih berganti dan di hadapi dengan lebih baik.

Entah apa yang saya tulis ni, haha saja nak praktis menulis. nanti akan di kongiskan lebih banyak lagi ya. Terima kasih kerana membaca. =)