Beberapa hari lepas, aku mendapatkan slot ebuku dari Coach Nora Zyan yang berjudul “7 Hari Pengembaraan Cinta”. Alhamdulillah syukur dengan anugerah ini. Kebelakangan ini aku memang suka untuk mencatatkan perkara penting, kejayaan-kejayaan kecil diri, hadiah untuk self-love, jurnal kesyukuranku, pola-pola diriku yang sempat aku sedar dan perasan atau apa saja di dalam pelbagai buku catatan yang comel lagi menarik (Lain waktu aku coretkan impaknya berbuat begini ya). Justeru mendapat ebook tersebut sangatlah menggembirakan aku.

Koleksi nota kecil dan besar yang aku simpan untuk coretan di atas

Aku membelek satu persatu helaian ebuku tersebut lalu mataku tertangkap satu perkataan bernama NIAT. Subhan Allah perkataan ini tiba-tiba memberi rasa yang sangat dalam dijiwa. Ya lah hanya sekadar niat! Biasa didengari sebelum ini dan biasa juga dibuat namun kadang waktu terlupa dan tidak istiqomah. Aku mencapai buku jurnal kesyukuran dan menulis niatku (waktu itu aku mahu ke taman untuk sedikit larian dan sit up) berbunyi begini;

“Menjaga diriku sebaik mungkin untuk beribadat kepadaMu. Ya Allah berikan aku kesembuhan mental, fizikal dan rohaniku untuk aku menjadi hambaMu yang lebih bertaqwa, aamiin.”

Ada airmata mengalir sejurus aku menulis niat tersebut kerana banyak waktu sebelum ini aku lupa untuk memperbaharui niat dalam setiap perbuatan yang aku lakukan. Pada hari itu, ketika aku melakukan aktiviti riadah di taman, aku dapat merasakan perbezaan dalam diriku, rasanya jauh lebih baik dari biasa. Ada rasa hidup yang lebih bertujuan, bukan kosong semata. Emosi juga rasa lebih tenang dan tenteram dan aku sentiasa ingat perihal niat aku untk menjaga fizikku semata-mata untuk beribadat kepada Dia. Sedang sebelum ini, aku melakukan perkara yang sama tapi perasaannya sedikit kosong. Ya Allah betapa lalainya aku dalam meniti hidup ini, untuk apa aku mendapatkan kesihatan terbaik jika bukan untuk kembalikan diriku sebagai hambaNya dalam melakukan ibadahku. Bukankah itu tugas utama kita sebagai khalifah di bumiNya?

Biasakan kita lakukan pekerjaan, terus lakukan saja tanpa dimulai dengan niat. Sedang Dia sudah memberi petunjukNya betapa niat ini memainkan peranan yang sangat penting dalam hidup kerana ada impaknya buat diri. Lihat saja pada setiap kali waktu solat, sebelum dimulakan solat wajib membaca niatnya terlebih dahulu. Sehari semalam ada 5 waktu solat wajib dan ini bermakna ada 5 kali kita perbaharui niat kita kan.

Ada banyak tugas seharian kita boleh dimulakan dengan niat yang jelas kerana Dia. Kalian mungkin seorang pekerja, usahawan, penulis, pelukis, surirumah, guru atau apa jua profesinya, mulakan saja niat yang terbaik untuk hari ini. Kelak apabila natijah dari perbuatan kita insyaallah, keberhasilannya jadi lebih baik. Insyaallah. Atau paling kurang emosi yang hadir dalam diri itu yang lebih penting menjadi jauh lebih baik, bukankah itu yang diri kita perlukan saat ini.

Begitu juga sebelum menulis ini, aku siap dengan niat untuk memberi manfaat kepada sang pembaca, jika ada yang membacanya dan memanfaatkan isinya alhamdulillah. Jika tiada, masih tidak mengapa, paling kurang aku sudah melakukan penulisan ini dengan niat yang jelas untuk menyampaikan satu perkara kebaikan. Diterima umum atau sebaliknya itu bukanlah perihal aku sebagai makhlukNya, itu tugas Dia yang menentukan hasil kerjaku. Aku dengan penuh kesedaran pastilah melakukan yang terbaik pada hemah yang aku ada saat ini.

Justeru sahabat budiman sekalian, jom kita perbaharui niat kita sebaiknya dalam setiap perkara yang kita lakukan. Atau bisa saja dimulakan setiap pagi, setiap hari sebelum melangkah turun dari katil sejurus bangkit dari tidur. Pasakkan niat yang sejelasnya hari ini atau coretkan di jurnal kecil kalian. Insyaallah semua yang dilalui hari itu pastinya lebih baik. Yang paling utama, kondisi emosi kita lebih terjernih pabila niatnya lebih jelas. Jom kita. =)